Kawan2Ku

08 Januari 2011

Ketua Polis Negara Yang Pertama : Tan Sri Claude Harry Fenner

Posted by Dalia Hassan at Sabtu, Januari 08, 2011
Sumber: Facebook Rasmi PDRM




Tan Sri Claude Harry Fenner adalah Pesuruhjaya British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu sebelum kemerdekaan negara dan beliau juga merupakan Ketua Polis Negara yang pertama bagi Malaysia (sehingga Ogos, 1965). Lambang polis yang ada sehingga kini, iaitu sebilah keris bersilangkan Parang Iban di belakang kepala singa yang mengambarkan percantuman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah merupakan lambang pilihan beliau.


Tan Sri Claude Fenner dilahirkan pada 16 Januari, 1916 di London. Ketika usianya 12 tahun beliau mengikut bapanya, Mejar C.H. Fenner ke India dan bersekolah di St. Joseph’s College, Naini Jal, India. Pada 17 Januari, 1936 semasa berumur 20 tahun, Tan Sri Fenner memasuki Straits Settlements and Federated Malays States Police sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis bernombor G/326. Dari saat itu beliau tidak pernah meninggalkan Tanah Melayu kecuali semasa penaklukan Jepun di Tanah Melayu dalam tahun 1942 – 1945.

Apabila meletusnya Perang Pasifik, beliau bertugas di dalam Cawangan Trafik, Kuala Lumpur. Kemudiannya bertugas sebagai Ketua Polis Daerah(OCPD) di Kelang, Teluk Intan (Teluk Anson), Kinta dan Tronoh. Beliau boleh bercakap bahasa melayu dengan fasih serta mempelajari dialek Hokkien di Amoy, China Selatan selama dua tahun. Beliau kemudian memegang jawatan ASP Sikh Kontinjen, Negeri – negeri Selat di Singapura sehingga pendaratan Jepun pada 15 Februari, 1942. Pada masa Jepun, Tan Sri Fenner bersama tujuh orang pegawai lain telah berjaya melarikan diri ke Sumatera melalui bot dan kemudiannya ke Jawa dan Australia.


Semasa British Special Force ditubuhkan, beliau telah memasuki Pasukan Polis Nigeria (Nigerian Police), tetapi tidak berapa lama kemudian beliau memasuki Pasukan 136 bertugas di Kapal Selam H.M.S Tally Ho, menentang pasukan Jepun dan Jerman di Lautan India dan sepanjang perairan Selat Melaka.


Di antara tahun 1943 dan 1944, beliau beberapa kali membuat pendaratan di Tanah Melayu dengan kapal selam, dan akhirnya dalam tahun 1945 beliau telah terjun dengan peracut di pantai dekat Seremban, untuk bergabung pasukan British yang masih tinggal di Tanah Melayu. Berikutan dari penyerahan diri tentera Jepun di Tanah Melayu dalam bulan September, 1945 beliau telah ditugaskan dengan pasukan tentera British (British Military Administration) berpangkat Leftenan Kolonel untuk tugas – tugas penghapusan Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA).


Perkhidmatan beliau semasa Perang Dunia itu telah mendapat sanjungan dan telah dianugerahkan Member of The Order of The British Empire di England dalam tahun 1946. Sekembalinya beliau dalam perkhidmatan polis di Tanah Melayu, beliau bertugas sebahagian besarnya di Cawangan Khas. Dari tahun 1952 hingga 1954, di mana latihan – latihan dalam Cawangan Khas diutamakan, Tan Sri Fenner telah menolong memperkenalkan Sekolah Latihan Cawangan Khas di Kuala Lumpur dan merupakan komandannya yang pertama.


Dalam bulan Oktober, 1955 beliau ditukarkan ke Johor sebagai Ketua Polis (CPO) sehingga bulan Julai, 1957. Pada 26 Mac, 1958 beliau dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri sebagai Pemangku Timbalan Setiausaha, Keselamatan dan Intelligence. Pada 2 Jun, 1958 beliau dinaikkan ke pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis dan tiga bulan kemudian, iaitu 18 September, 1958, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis bagi Polis Persekutuan Tanah Melayu yang baru ditubuhkan pada waktu itu. Sebaik sahaja dilantik, Tan Sri Fenner memberikan perhatian kepada tiga perkara penting, iaitu:-


i. Memperbesarkan Cawangan Khas dalam memainkan peranan terhadap keselamatan di dalam dan di luar negara.

ii. Mengubah dasar-dasar pasukan dari keadaan darurat kepada keadaan masa aman dan

iii. Menggerakkan dan menyelaraskan perjalanan pasukan polis ke arah Malayanisation.

Untuk menghargai jasa-jasa dan pengorbanannya, maka Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menganugerahkan Darjah Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri kepada beliau dalam tahun 1961. Apabila tertubuhnya Persekutuan Malaysia pada 16 September, 1963 Tan Sri Fenner telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang pertama sehingga beliau bersara pada 6 Julai, 1967.

Sepanjang perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia, Tan Sri Fenner adalah merupakan arkitek kepada perjalanan Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak. Beliau juga bertanggungjawab dalam pembesaran Pasukan Simpanan Persekutuan dan Cawangan Polis Merin. Semasa mula-mula mengambil alih tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1958, beliau membuka peluang skim berkhidmat secara terus sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis, sebagai usaha mewujudkan pegawai kanan polis yang bakal mengambil alih pentadbiran pasukan di masa depan. Beliau juga banyak menempuh dugaan dan cabaran yang mencabar kepimpinannya dalam masa memegang jawatan Pesuruhjaya Polis dan kemudiannya Ketua Polis Negara, seperti peristiwa rusuhan di Pulau Pangkor tahun 1959, Singapura 1964 dan tunjuk perasaan terbesar dari pro-komunis dalam bulan Februari, 1965 di Kuala Lumpur.

Perkhidmatan Tan Sri Fenner mendapat penghormatan yang tinggi dari Queen Elizabeth II dari England yang telah menganugerahkan Noble Order of Knight Commader of British Empire dalam tahun 1965. Pada 28 Februari, 1966 satu perbarisan perpisahan diadakan di mana pada hari tersebut Tan Sri Fenner memeriksa perbarisan dan menerima tabik hormat buat kali terakhir atas nama Ketua Polis Negara. Ucapan akhir beliau di dalam perbarisan tersebut adalah berbunyi: "In previous years you have all saluted me. Today, I salute you in farewell. Good-bye dan God bless you all."

Tan Sri Fenner telah meninggal dunia pada jam 11.00 pagi, 15 Mei, 1978 di England.




* Sumber daripada buku Polis Diraja Malaysia : Sejarah, Peranan dan Cabaran oleh TPP Mohd Reduan Aslie, Cetakan tahun 1987

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi komen!

PayPal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.
 

D'Alia Gallery Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea