Apa2 Aje, Bila2 Aje, Mana2 Aje, Siapa2 Aje, Suka2 Aje

Saturday, May 13, 2017

Hiking @ Gunung Kerinci , Jambi Indonesia

 
Assalamualaikum wbt..



Sebenarnya aku tak pernah pun terfikir nak panjat Gunung Kerinci yang terletak di Jambi, Sumatera yang mempunyai ketinggian setinggi 3805 meter dari paras laut, yang bersempadan dengan provinsi Sumatera Barat, dan terletak di sekitar 130 km sebelah selatan Padang.



Bukan apa, aku ni takder la padu sangat dalam dunia hiking ni. Panjat bukit pun kekadang rasa nak pitam kepenatan. Apatah lagi panjat gunung setinggi Kerinci yang di gelar Puncak Inderapura atau Atap Sumatera kerana Kerinci merupakan puncak tertingi di Sumatera dan Gunung Berapi tertinggi di Indonesia.



Al kisah macamana aku terjebak dengan trip ni adalah dari classmate aku, Nadhra. Dalam awal Febuari aritu, dia open trip ke Kerinci dalam grup hiking kami masa kami hike di Gunung Bunga Buah. Aku pun tetiba rasa macam terpanggil2 untuk join trip ni walhal aku tak google satu apa pun pasal Gunung Kerinci ni. Apa yang aku tau masa tu, orang gelarkan GK ni sebagai Atap Sumatera kerana ia adalah puncak tertinggi di Sumatera. Tentang ketinggian, kesukaran, bentuk trek dan lain2 memang aku tak tahu dan aku sengaja tak mahu ambil tahu sebab aku tak mahu mental aku koyak sebelum pendakian.



Serius. Walaupun asben aku rajin google tentang GK ni, tapi aku tak berminat langsung. Pada aku, biar aku sendiri merasainya.. aku tak mahu bayangkan langsung tentang trek GK. Biarlah aku tertanya2.. cewahhhh!



Dan pada 27/4/17, aku, Suhaimi, Nadhra, Qila, Rizal, Nonie, Faizal dan Lava, telah memilih flight 7.40am sebagai permulaan perjalanan kami ke Airport Padang. Penerbangan memakan masa hanya sejam dari KLIA 2 ke Padang, Sumatera. Kami disambut oleh Ferdi, wakil dari agensi Kerinci Travelling yang sentiasa tersenyum dan ramah berbicara.



Dari Padang, kami menaiki van yang disediakan menuju ke Perkampungan Kersik Tuo di Kayo Aro, Jambi. Perjalanan ini mengambil masa selama 8 jam ( tempoh perjalanan termasuk masa yang diperuntukkan untuk mencuci mata dan wallet di kedai menjual peralatan outdoor - lebih kurang sejam diperuntukkan di kedai outdoor ni ) Kami tiba di Homestay Paiman lebih kurang jam 8 malam...



Setelah membersihkan diri dan menunaikan kewajipan, kami diberikan sedikit taklimat oleh Ferdi tentang pendakian yang akan kami tempuhi esok. Setelah itu kami mempersiapkan pakaian dan bekalan untuk persediaan mendaki seawal jam 8 pagi keesokannya. Setelah selesai berkemas, masing2 tertidur kepenatan kerana jarak perjalanan yang telah ditempuhi agak lama...




Gambaran lokasi Gunung Kerinci
 
  
 Malam sebelum tidur, kami diberi taklimat terlebih dahulu tentang pendakian esok...


 
Bangun je tidur, jengah tingkap tengok luar, Subhanallah.. cantiknya pemandangan.. dengan hamparan kebun teh yang berlatar belakangkan Gunung Kerinci yang puncaknya diliputi kabus. Tiba2 bersemangat dan berazam yang walau apa pun terjadi, puncak Inderapura akan aku tawan. InshaaAllah.
 
 
Pemandangan dari warung yang kami lepak sementara tunggu diorang loading barang..
 
 

 
 
Wefie ... acara wajib setiap langkah.

Sebelum gerak ke kaki gunung, sempat gak la bergambar kat Ladang Teh ni. Kayo Aro ni memang terkenal dengan keaslian tehnya. Sayang GK kat belakang tu hilang disebalik kabus tebal.
 
 Masa untuk ke kaki GK. Bayangkan kalau aku yang dok kat atas tu.. mau runtuh bumbung powil tu.

  
Bergambar di kaki gunung sebelum memulakan pendakian...





Di awal perjalanan... masing2 muka ceria dan segar... inipun dah mula termengah2 padahal pintu rimba pun tak sampai lagi...
 


Asyik berhenti bergambar jer bila nak sampai tapak perkhemahan ni??
 
Bila difikir-kan semula, nasib baik juga la encik asben aku ni punya minat yang sama. Dia lah juga peneman merangkap sweeper kedua aku.
 
 
Giler tak penat! Ni belum separuh pendakian pun lagi...
 

Kalau tak salah aku, ni dari shelter 1 nak ke shelter 2....
 
 
 
 
 

 

 

 

 

 

 

 
 
 
Hampir kul 6 petang baru aku sampai di tapak perkhemahan kami.. Pendakian aku memang agak perlahan kalau nak dibandingkan dengan yang lain2.. maklumlah... faktor usia.. yang lain semua masih 20an, aku je yang hampir ke 40an. hahaha bertabahlah yer adik2. hakak memang macam ni... sepak2 daun jer sambil menikmati keindahan alam.. tapi walaupun antara yang belakang, jarak kami masih tak jauh. Masih kelihatan di antara satu sama lain.
 
 
Sampai di tapak perkhemahan, terus melepek kesejukan.. tengok kasut pun dah tak rupa kasut dah. Antara dua darjat.. dalam dan luar... 
 
 
 
 Sejuk giler... aku terpaksa tutup mulut pakai tudung.. hidung aku rasa kebas.. kesejukan... masa aku sampai tapak perkhemahan ni, Lava dah siap tukar baju pun. Aku jer yang masih penuh dengan selut. Seluar aku koyak sebab tersangkut kat akar kayu. Tapi masa tu malas nak fikir dah. lantaklah.
 
Malam kat tapak perkhemahan memang satu kenangan yang tak akan aku lupakan. Serius aku tak boleh tidur. Bukan sebab aku tak mengantuk. Kalau ikutkan hati memang badan dah rasa penat sangat. Tapi cuaca tak berapa bagus, angin agak kencang dan aku rasa sejuk yang teramat sangat. 5 lapis baju, lepastu selubung dalam sleeping bag masih lagi tak mampu nak hangatkan badan aku. Bayangkanlah kalau aku tidur kat rumah pun, aku jarang sangat bukak kipas sebab aku tak tahan sejuk..
 
 
Tapi satu yang aku bersyukur sangat, aku bawa emergency blanket. Sebenarnya emergency blanket ni yang banyak membantu aku dan Noni, kawan sekhemah aku. Kebetulan aku memang bawa 3 keping, sekeping aku bagi kat asben aku, lagi dua memang tersimpan dalam beg aku. Tengah2 malam masa tu aku ingatkan Nonie dah tidur, rupanya dia sama macam aku, tak boleh tidur sebab sejuk + takut angin kencang. Bila dia kata dia sejuk, aku bagi dia guna emergency blanket aku yang satu lagi. Barulah hangat. Tapi bila bungkus dengan emergency blanket lepastu masuk dalam sleeping bag, aku ter gelihati sendiri.. Aku membayangkan ikan bakar yang aku selalu buat, balut dalam aluminium foil - dah sama macam keadaan aku malam tu.
 
 
Lebih kurang jam 1.30am krew Kerinci Travellling hantar sarapan ke khemah kami. Layanan memang tip top tapi aku memang tak biasa sarapan pagi2 macam ni. Tapi aku makan la juga roti buat alas perut. 
 
 
Kalau ikutkan perancangan, kami mula bergerak ke shelter 3 jam 2.30 pagi. Tapi disebabkan atas beberapa perkara, hampir jam 3 baru kami memulakan perjalanan. Trek dari shelter 2 ke shelter 3 lebih mencabar dari perjalanan sebelum ini. kami terpaksa melalui lorong lorong tikus yang agak pacak didalam keadaan yang gelap gelita tu. Cuaca tak usah cakaplah, sejuk memang sampai ke tulang. Smartphone memang tersimpan rapi dalam beg, takder mood nak keluarkan apatah lagi nak bergambar di waktu2 macam ni.
 
 
Bila sampai di shelter 3, baru aku tahu kenapa guider tak benarkan kami berkhemah disitu. Walaupun pemandangan dari shelter 3 itu agak menarik, tapi keadaannya yang terbuka dan terdedah membolehkan angin kencang bertiup tanpa sebarang perlindungan. Bahaya beb. Boleh terbang khemah2 tu. 
 
 
Dari shelter 3 ke puncak.. Summit Attack! Kali ni memang benar2 mencabar mental dan fizikal. Atas sikit dari shelter 3, badai dah mula terasa. Angin kencang. Kami terpaksa berlindung disebalik jalur yang terdapat disana. Sampai satu masa, dengan tiupan angin yang kencang, aku terpaksa dipimpin: sebelah kanan, my encik asben. sebelah kiri, guider. Terpaksa berpegang satu sama lain sambil berlari dan menunduk untuk mengelakkan ditiup angin kencang.
 
 
Berjalan di celah jalur..
 
 
 
 
Bila angin reda, bola bola api pun muncul. Terdengar diorang menjerit " Api sudah keluar!" ... Subhanallah cantiknya ciptaan Allah.
 
 
Bila dah kepenatan, lantaklah nak ambik gambar macamanapun. Muka tak bersedia pun aku tak kisah. Aku pasrah.
 
 
 
Dalam perjalanan ke Tugu Yudha, sekali kali badai melanda. Angin kencang. Kami terpaksa melalui jalur yang terdapat disana bagi mengurangkan kesan dari angin kencang. Masa ni aku berada bersama team Angkasa, dari Malaysia. Kalau tak salah aku team ni terdiri dari 25 orang pendaki, dan kesemuanya lelaki. Aku sempat berborak dengan salah seorang dari mereka. Dia bagitau aku ini adalah cubaan kedua dia dalam misi menawan puncak Inderapura. Kali pertama gagal kerana ribut melanda walaupun pada ketika tu perjalanan dah dipertengahan antara Shelter 3 dan Tugu Yudha. Bila dia cerita macam tu kat aku, tiba tiba aku dapat semangat untuk teruskan perjalanan dengan cepat. Aku tak mahu datang untuk kali kedua. Biar apa pun terjadi aku tetap nak sampai puncak. Kalau aku terlebih waktu yang ditetapkan, mereka tak akan benarkan aku naik ke puncak sebab sulfur dari kawah gunung berapi tu akan semakin banyak dan akan membahayakan kesihatan kita. (Sebelum ni Ferdi dah bagitau awal2, paling lewat sampai puncak mesti sebelum jam 8 pagi. Lebih dari jam 8 gunung berapi akan lebih aktif dan mengeluarkan lebih banyak sulfur yang memedihkan mata dan menusuk ke hidung serta membahayakan kesihatan)
 
 
 
 
 
 


Syukur Alhamdulillah. Berjaya juga aku menjejakkan kaki ke Puncak Inderapura. Rasa macam tak percaya pendaki biasa macam aku pun boleh berjaya. Bukan senang beb nak capai impian. Diambil kira sekali dengan faktor umur... faktor berat badan... #eh



Sebenarnya sampai hari ni pun, kalau diingat2kan semula tentang kemanisan sampai ke Puncak Inderapura, tentang kepenatan dan penat lelah yang berbayar, aku rasa macam nak menangis. Tak boleh nak bayangkan atau nak luahkan perasaan yang ada kat dalam ni. Jujur aku cakap, kalau aku ingat2 balik kenangan tu air mata meleleh leleh keluar. Masa tu, memang takder perasaan nak upload apa2 gambar kat FB atau IG... Sebab aku rasa, pengalaman pendakian tu tak dapat diluahkan melalui gambar. Tak sampai.


 
Ah bencilah! Nampak aku gemuk sangat! 
(Tak nak terima hakikat sebenar yang berat badan ko dah naik berbelas kilo)


 
 Menahan Rindu Sejuk





Turun dari puncak ke Tugu Yudha, aku ternampak Nornie. Rasa nak menangis bila aku nampak dia sebab masa summit attack, sweeper tiba tiba datang dari arah belakang dan dia serahkan bendera Malaysia kat aku. Katanya Nornie minta dia serahkan kat aku sebab Nornie tak dapat teruskan pendakian. Masa tu aku ingatkan dia dah patah balik, rupanya dia tetap berusaha untuk teruskan pendakian walaupun untuk sampai ke Tugu Yudha. Aku tau Nornie sedih, tapi berjaya sampai ke Tugu Yudha tu pun dah kira kejayaan besar juga, hanya kurang beberapa meter jer dari puncak. Aku kira lebih kurang 15-20 minit pendakian.



 




Oleh sebab perjalanan turun aku jadi slow akibat dari lutut yang bengkak, bergambar jer la keje kami. Cer tengok tu, my encik asben yang tak lekang dengan selfienya...
 
 
 
 
Sebenarnya, lebih kurang 10 meter je lagi sebelum sampai ke puncak, aku terjatuh dan lutut aku terkena batu. Berdarah + bengkak. Dan sebenarnya penyeksaan aku bermula dari puncak kerinci sehingga ke tapak perkhemahan. Korang bayangkanlah, dengan lutut yang bengkak, macamana aku nak melangkah turun. Memang berjam2 dan jauh ditinggalkan oleh kawan2. Tapi aku puji sweeper yang setia menunggu aku dengan sabar. My encik asben pun.. gigih tunggu bini dia yang jalan macam siput ni walhal biasa kalau pergi hiking bini dia la ni yang akan berjalan didepan sekali kalau trek menurun.
 
 
Blending with nature
 
 
 
Tugu Yudha ... tempat kali terakhir terlihat kelibat Yudha Sentika sebelum hilang disebalik kabus tebal. (Korang google la sendiri sejarah Yudha)
 
 
Ok. Nak cerita sikit perjalanan turun ke bawah. Perjalanan yang memang mengoyak rabakkan mental aku. Disebabkan lutut aku bengkak masa terjatuh sebelum sampai puncak tu, habis masa perjalanan aku berubah. Memang slow giler. Nak melangkah setiap tapak pun rasa macam nak menangis. Dan perjalanan ketika aku turun jadi lebih lambat dari masa aku mendaki.
 
 
Sampai tapak perkhemahan lebih kurang jam 1 lebih tengahari. Lepas makan, Ferdi bagi aku paracetamol dan ubat sapu. Lepas makan dan sapu ubat, badan aku rasa lebih selesa. Lutut aku pun dah rasa lega, tak sakit macam masa mula2 tu. Dalam jam 3 kami mula turun dari shelter 2. Elok je kaki melangkah, hujan turun dengan lebat. Aduh. Dugaan lagi tapi takperla. Yang penting kaki aku dah ok buat sementara ni. haha! Alhamdulillah.. walau hujan tapi aku rasa happy sangat, sebab dapat trek berlumpur. Aku tak kisah jalan atas lumpur asalkan jangan jalan atas selut. Sebenarnya sebelum hujan aku sempat bisik kat asben, "abang... kan best kalau dapat trek macam Bukit Kutu aritu...lebih2 lagi kalau hujan..." elok je Allah makbulkan permintaan aku. Cuma... bukan aje aku dapat trek Bukit Kutu, Trek Gunung Irau yang berselut tu pun aku dapat. Ok. yang tu memang aku lemah. 
 
Sampai di shelter 1, aku dengan asben ingatkan nak teruskan je perjalanan ke bawah. Tapi dengan keramahan pendaki2 lain, mereka tawarkan aku untuk minum air kopi panas. Dengan baik aku menolak. Ye la.. aku kan tak minum kopi. Tiba2...
 
 
" Kak.. Megi mau ka kak?"
 
Aku yang dengan niat nak teruskan perjalanan taknak tunggu lama tiba2 je boleh jawab 
 
 
"Boleh jugak...."
 
Dan dan aku terus duduk sama diorang tunggu diorang masakkan megi.. sedap hoi hoi hujan hujan makan megi panas2. Asben aku dah jeling2 je sebab dia risau head lamp dia bateri dah kong... kalau boleh dia nak keluar dari hutan sebelum hari gelap.
 
 
Lepas makan Megi aku dan asben teruskan perjalanan ke Pos 3. Ferdi suruh kami jalan dulu, dia akan menyusul kemudian sebab dia nak ngobrol dengan teman2 lama sikit kat shelter 1 tu... Entah kenapa dari shelter 1 nak ke pos 3 tu aku rasa perjalanan jauh sangat, tak macam masa kami mendaki. Sampai di Pos 3 dah pukul 6 lebih.. kat situ pun diorang berhenti agak lama. Hati aku dah makin meronta2 nak turun cepat. Hari makin gelap. Tiba2 Adi bagi kami pinjam lampu picit dia. Sampai separuh jalan, Ferdi bagi guna head lamp dia. Mujur lah head lamp aku masih berfungsi dengan baik. My encik asben tu bateri headlamp dia kong sebab dia terlupa nak tutup masa malam camping tu. 
 
Dari Pos 3 nak ke Pos 2 mental aku semakin koyak. Sebab? Hujan masih belum reda. Jalan dah mula berselut. Macam trek Gunung Irau. Selut ni membuatkan aku semakin penat. Ye la.. bayangkan ko berjalan atas selut, setiap langkah kau aturkan terasa berat. 3 - 4 kali kasut tercabut dalam selut. Ditambah pula dengan kegelapan malam.
 
 
Sampai satu tahap, mood aku memang hilang terbang melayang entah kemana. Tak sempat nak tangkap mood tu nak biarkan dia stay setempat. Asben aku jauh sikit dari aku pun, aku sensitif. Nak menangis. Dari pos 1 nak ke pintu rimba, aku malas fikir panjang. Segala apa ada depan mata aku redah je.. jalan je terus tak toleh2 lagi dah sampaikan satu masa aku tak nampak ada kayu melintang kat atas kepala aku. Gedebuk aku terlanggar dan tak pasal2 headlamp si Ferdi yang aku guna tu retak akibat dari hentakan tu. Sorry Ferdi. Aku nak ganti yang dia tak mau. 
 
Masa ni aku memang fikir katil jer. Asben aku berhenti amik nafas pun aku tak bagi. Aku nak cepat sampai homestay. Aku nak tidur sebab aku tak cukup tidur. Tepat jam 9.16 malam aku keluar dari pintu rimba. Alhamdulillah. 
 
 
Sampai homestay, terus mandi. Nasib baiklah aku memang ada sidai baju kat ampaian dalam homestay tu, so aku tak perlu naik ke bilik dulu. Dengan pakaian yang penuh selut, aku bersihkan diri dan terus masuk tidur. Tiba2 rasa sejuk tu datang lagi sampai aku tak boleh bernafas. Dan sekali lagi emergency blanket jadi penyelamat. Malam tu aku tidur dengan lena sampai ke subuh. Yang bestnya, bangun je pagi tu aku rasa segar sangat. Soalan pertama aku tanya Nad, "jadi ke kita nak hiking kat Danau Gunung Tujuh?" - bersemangat pulak nak sambung hiking, sebab badan dah rasa sihat sepenuhnya. haha! tapi setelah dibawa berbincang, kami putuskan cuma Faizal, Rizal dan Lava je yang akan ke Danau Gunung Tujuh. Yang lain akan ke Air Terjun Telun Berasap, yang airnya mengalir dari Danau Gunung Tujuh.. Betul juga cakap Nad, kaki ni kena sayang gak.. Kena jaga elok2.. so kita bagi yang padu2 je wakil kami pergi ke Danau Gunung Tujuh.. haha!
 
 
 
Sempat bergambar kat Tugu Macan..

 
Bergambar dengan sijil masing masing sebelum pulang ke Malaysia. Masa ni salah seorang dari kami, Faizal dah balik ke Malaysia sehari awal dari kami kerana ada tugas lain yang perlu diselesaikan (Eleh.. sebenarnya dia sayang nak amik cuti lama sebab selang berapa hari dia nak terbang ke Kashmir pulak.. I is jeles okayyy.. berjalan sakan dia)

haha!

*Mount Kerinci, walaupun kau kejam dan buatkan aku hampir putus asa, tapi kau mampu buat aku jadi seorang perindu....

----------------------------------------------------------------------------------





Gambaran pendakian Gunung Kerinci
 
Ringkasan :
 
Dari Pos Pintu Rimba Ke Bangku Panjang (1,909mdpl) ~ Masa yang diambil lebih kurang 30 - 45 minit bergantung kepada pace masing2. Jarak perjalanan lebih kurang 2km.
 
Dari Bangku Panjang Ke Pos Batu Lumut (2,010mdpl) ~ Masa yang diambil lebih kurang 30 - 45 minit bergantung kepada pace masing2. Jarak perjalanan lebih kurang 2km.
 
Dari Batu Lumut Ke Shelter 1 (2,225mdpl) ~ Masa yang diambil lebih kurang 2 - 3 jam bergantung kepada pace masing2. Jarak perjalanan lebih kurang 3km.
 
Dari Shelter 1 Ke Shelter 2 (3,057mdpl) ~ Masa yang diambil lebih kurang 2 - 3 jam bergantung kepada pace masing2. Jarak aku tak berapa pasti tapi menurut Ferdi, jarak shelter 1 ke 2 adalah jarak yang paling jauh diantara yang lain2. Di laluan ini terdapat banyak akar2 pokok dan treknya agak pacak dari yang sebelumnya. Shelter 2 adalah satu kawasan yang terlindung dari tiupan angin dan sesuai untuk mendirikan khemah disini.
 
Dari Shelter 2 Ke Shelter 3 (3,319mdpl) ~ Masa yang diambil lebih kurang 1 - 2 jam. Laluan disini seperti laluan tikus, jalan yang sempit melalui jalan yang terbentuk melalui saluran air, di kiri dan kanan adalah dinding tanah. Di shelter 3 adalah satu kawasan terbuka dan tidak sesuai untuk perkhemahan jika cuaca tidak elok. Angin terlalu kuat.
 
 
Dari Shelter 3 - Puncak Kerinci (3,805mdpl) ~ Masa yang diambil adalah 1.5 - 2.5 jam bergantung kepada pace masing2 dan juga bergantung kepada keadaan cuaca. Pada hari aku mendaki, selain pace aku yang akak perlahan, angin kencang juga memperlambatkan pendakian kami. Terpaksa beberapa kali berhenti dan berlindung disebalik dinding2 tanah yang terbentuk seperti jalur. Sebelum sampai ke puncak, kita akan melalui satu dataran berpasir dan berbatu2 dimana terletaknya beberapa tugu peringatan untuk para pendaki yang hilang / meninggal di gunung ini. Tugu yang boleh dilihat dengan jelas adalah Tugu Yudha. Terdapat beberapa batu yang diikat dengan kain kuning, yang boleh dijumpai dikawasan dataran ini. Menurut sumber, batu yang diikat menggunakan kain kuning ini juga adalah tugu peringatan pendaki yang hilang / meninggal dan diabadikan dalam bentuk begitu.
 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Lain-lain cerita :


Air Terjun Telun Berasap


Pulau Pagang Dan Pulau Pasumpahan
 

No comments:

Post a Comment